Monday, 20 May 2019

Al-Fatihah, Insyirah Az-Zahra...

Bismillahirrahmanirrahim...

Pantas.

Satu kata yang boleh aku ungkap selepas semua perkara ini berlaku. Ia berlalu dengan sangat cepat. Kami terima berita itu jam tiga petang, semalam jam dua belas beliau selamat dikebumikan. Otak masing-masing masih mencerna perkara yang berlaku. Ia pantas! Tak sempat fikiran ini menghadam babak-babak yang terhidang di depan mata ini.

Aku bangun dari tidur petang semalam, aku buka whatsapp group budak kelab. Perbualan dimulakan oleh F. Tetapi perbualannya dipadam. Jadi aku scroll ke bawah. Masing-masing mengucapkan takziah, al-Fatihah, ucapan "Innalillahi wa inna ilaihiroji'un". Aku mulai tak sedap hati. Siapa pulak meninggal ni? Aku balik semula dan membuka ruangan chatting yang lain.

Mesej kedua ku buka dari N. Dia menyeru aku sejam yang lalu. Aku mengiyakan.

"NIA, Inci meninggal. Accident."

Allahu akbar!

Terkejut besar aku menerima berita itu. Aku yakin yang lain juga begitu. Aku bertanya lagi untuk kepastian.

"Meninggal ke? Takkan sampai meninggal."

"Mereka cakap meninggal. Kecederaan teruk di kepala." Otak aku cuba mencerna berita yang baru diterima. Subhanallah! Kamu pergi di bulan yang mulia, Inci. Di fasa pengampunan. Subhanallah!

Aku ni kategori tak berapa rapat dengan Inci. Hubungan kami hanya sekadar senior-junior dan rakan-rakan dalam kelab. Jadi aku tak berapa kenal rapat dengan Inci.

Namun, pemergian Inci membuatkan aku terfikir banyak perkara. Pergi diusia yang sangat muda iaitu 21 tahun, membuatkan aku terfikir. Betullah orang kata ajal maut itu tak kenal usia. Andai ditakdirkan untuk kita pergi menghadap Ilahi, maka tercabutlah roh dari jasad. Persoalannya, sudah bersediakah kita?

Ketika aku memberitahu rakan-rakan aku yang aku hendak keluar menjenguk rakan meninggal. Masing-masing menitipkan pesan agar hati-hati di jalanan. Saat itu, aku fikir. Andai ditakdirkan, aku meninggal dalam perjalanan untuk bertemu Inci, sudah bersediakah aku mahu bertemu Allah? Dengan solat-solat lama yang dibelum diqada. Dengan aku yang masih belum minta ampun pada mama, maktok dan keluarga yang lain. Dengan hutang-hutang aku pada orang yang masih belum ku bayar. Dengan aku yang masih belum minta maaf pada orang. Sudah bersediakah aku untuk bertemu Allah? Menggigil kaki ini hendak menjawab persoalan itu.

Tetapi bagi aku, pemergian Inci adalah disebabkan Allah sangat sayang kepadanya. Aku pernah dengar orang cakap, Allah ambil nyawa orang-orang soleh diusia muda sebab Allah sangat sayang padanya. Orang yang umurnya panjang, Allah mahu beri ruang untuk dia bertaubat.

Kenapa aku cakap Allah sayang Inci?

Petang itu, kami berangkat ke hospital Jitra. Satu perkara membuatkan aku cukup kagum. Rakan-rakan yang menemani arwah dibedah siasat di hospital ramai sangat. Boleh dikatakan, aku ke surau, ada kawan Inci. Aku ke kafe, ada kawan Inci. Aku ke parking kereta, ada kawan Inci. Subhanallah! She must be a very nice person! Kalau tidak, masakkan sebegini ramai kawan-kawan yang menemaninya. Pengajaran yang aku dapat, "Please be nice to people!"

Sebagai orang yang tak rapat dengan Inci, satu perkara lagi yang aku boleh cakap tentang dia. Dia sangat baik, sangat positif dan tak suka jaga tepi kain orang. Dia hanya buat hal dia ja. Dia tak suka bergosip hal orang. Kalau dia dengar orang bergosip, dia diam ja. Dia tak masuk campur pun. Dia tak suka cakap buruk tentang orang. Itu yang aku sangat kagum tentang dia. Kerana dia ada aura positif!


Kalau kalian kenal Inci ni, dia nampak macam biasa-biasa saja. Tapi pengakhiran hidup dia, subhanallah! Pengakhiran yang dicemburui. Perjalanan proses pengebumian yang sangat lancar. Teman-teman yang menemani yang sangat ramai. Jemaah dimasjid yang menyembahyangkannya sangat ramai. Pengebumian di perkuburan dikerumuni insan-insan yang menyayanginya, juga sangat ramai. Jadi, cuba kalian bayangkan insan-insan yang mendoakannya. Masya Allah! Untung kamu, Inci. Semua orang sayang kamu sebab kamu baik.

Melihat pemergiannya yang begitu membuatkan aku terfikir, bagaimanakah pengakhiran hidup aku nanti? Apakah ditangisi atau disukai orang? Allah ya Allah! Takut aku memikirkan hal itu.

Akhirul kalam, Al-fatihah untuk Insyirah Az-Zahra binti Mohd Jasni. Semoga kamu ditempatkan dikalangan hamba-hamba Nya yang beriman. Syurga buatmu, dik. Aamiin ya Rabbal'alamin...

No comments:

Post a Comment